“Ok je tak nak percaya kripto, tapi kalau cakap orang lain bodoh sebab beli kripto ramai la yang marah nanti.”
Selepas Naib Pengerusi Berkshire Hathaway Charlie Munger memberi kecaman hebat terhadap mata wang kripto, pembaca berita CNBC bernama Joe Kernen mengkritik beliau kerana memiliki pengetahuan kurang terhadap aset digital.
Hal ini kerana semasa temu bual dalam Squawk Box CNBC oleh Rebecca Quick, Munger yang dikenali sebagai seorang yang anti-kripto berkata bahawa individu yang menentang kenyataannya adalah dungu kerana beliau masih percaya aset digital adalah penipuan semata-mata.
Ulas Munger, Amerika Syarikat (AS) harus mengharamkan kripto sepenuhnya sama seperti dilakukan China susulan beliau berpandangan aset digital bukanlah komoditi ataupun sekuriti tetapi perjudian.
Di tengah-tengah pasaran kripto mengalami kejatuhan drastik pada tahun 2022, beliau juga menyatakan bahawa aset digital dapat melemahkan mata wang negara dunia.
Ini berikutan beliau berpendapat mata wang negara telah memberi lebih banyak manfaat berbanding kripto sambil menambah orang pintar seharusnya menghindari aset digital kerana beliau yakin ia tidak bernilai.
Meskipun begitu, Kernen menyebut komen Munger adalah sama sekali tidak berasas malah tidak memiliki pandangan meluas tentang kripto, di mana beliau percaya Munger mengetahui aset digital melalui rakannya yang turut tidak mempunyai pengetahuan.