Pemotongan Pengeluaran OPEC Dilanjut Sehingga Julai

447

Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, telah bersetuju untuk melanjutkan pemotongan pengeluaran untuk satu bulan lagi dalam usaha berterusan bagi mengimbangi pasaran minyak global.

Pada April, OPEC+ telah bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 9.7 juta tong sehari pada Mei dan Jun, dan seterusnya akan berkurang kepada 7.7 juta tong sehari pada Julai sehingga Disember.

Bagaimanapun, susulan daripada mesyuarat yang berlangsung pada Sabtu, negara anggota bersetuju untuk melanjutkan dan mengurangkan pengeluaran sebanyak 9.6 juta tong sehari pada bulan depan, kurang 100,000 tong sehari berikutan keengganan Mexico untuk berbuat demikian.

Namun begitu, keputusan OPEC+ pada Sabtu lalu, gagal merangsang kenaikan harga minyak pada dagangan sesi sebelum ini dengan penurunan lebih 3%, berikutan keengganan negara pengeluar Arab Saudi yang tidak akan melanjutkan pemotongan tambahannya pada Julai.

Pada dagangan sesi Asia hari ini, niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan meningkat kepada $40.97 setong, manakala WTI Amerika Syarikat menokok kepada $38.42 setong, disokong oleh keyakinan terhadap pemulihan global yang semakin meningkat.

Terdahulu, kedua-dua penanda aras itu susut selepas Menteri Negara Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman, serta Kuwait dan Emiriyah Arab Bersatu menyatakan bahawa mereka tidak lagi akan menambah pemotongan 1.18 juta sehari pada bulan Julai, di mana sebelum ini ia dibuat secara sukarela.

Perjanjian yang dicapai pada April dengan menarik hampir 10% bekalan minyak mentah global dari pasaran, telah membantu harga minyak untuk meningkat dua kali ganda sejak kemerosotan yang disebabkan pandemik coronavirus.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat