Bitcoin mencatatkan lonjakan luar biasa mencapai paras $75,000 pada sesi Asia pagi ini (Rabu), memecah rekod sepanjang zaman, ketika keputusan awal Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) yang menunjukkan Donald Trump mendahului.
Kenaikan lebih 8% ini seiring dengan Trump yang memperoleh sokongan besar di negeri-negeri swing seperti Georgia dan North Carolina.
Menurut Fredrick Collins, CEO VeloData, peningkatan harga Bitcoin ini berkait rapat dengan reaksi positif terhadap kemungkinan Trump yang kini mendahului Kamala Harris.
Bukan hanya Bitcoin, Ethereum turut mencatatkan kenaikan 6.5%, manakala Dogecoin, yang dipopularkan oleh Elon Musk, melonjak kepada 18%.
Dengan sokongan kuat Trump terhadap dunia kripto, pelabur semakin tertarik dengan janji beliau untuk menjadikan AS sebagai pusat kripto dunia, termasuk mencipta rizab Bitcoin.
Walaupun pasaran dijangka tidak menentu selepas keputusan pilihan raya, dengan pergerakan harga Bitcoin yang boleh mencapai sehingga 8%, pelabur tetap optimis dengan masa depan aset digital ini.
Keputusan awal pilihan raya juga memberi harapan kepada industri kripto yang berharap pemerintahan seterusnya akan membawa dasar lebih mesra terhadap aset digital ini, berbeza dengan pendekatan ketat yang diterapkan dalam pentadbiran Joe Biden.