Penganalisis Ini Jangkakan Inflasi UK Boleh Meroket Lebih 18%!

184

Susulan lonjakan inflasi UK ke paras dua angka pada bulan Julai, ramalan baharu menunjukkan harga pengguna di negara itu mungkin melebihi 18% pada awal tahun depan.

Ramalan yang dilihat ‘tidak masuk akal’ itu dibuat oleh ketua ekonomi Citibank UK, Benjamin Nabarro ekoran jangkaan peningkatan dalam harga elektrik di negara itu sebaik sahaja Pejabat Gas dan Pasaran Elektrik menaikkan had harga.

Beliau meramalkan inflasi pengguna (CPI) Britain akan mencecah 18.6% pada Januari 2023, manakala indeks harga runcit (RPI) pula mencecah 21% disebabkan oleh kenaikan bil tenaga yang ‘menyeksakan’ isi rumah dan mendorong kos sara hidup terus mencanak.

Tarif dwi bahan api biasa dianggarkan meningkat kepada £3,717 pada bulan Oktober daripada harga semasa £1,285. Menjelang April, ia akan mencecah £5,816, kata pakar ekonomi Citi itu.

Ekoran itu, timbul persoalan daripada Nabarro bahawa apakah dasar yang boleh dilakukan perdana menteri baharu UK untuk mengimbangi kesan terhadap inflasi dan ekonomi sebenar?

Awal bulan ini, Bank of England (BOE) telah mengunjurkan harga pengguna Britain akan melonjak lebih 13% pada bulan Oktober apabila had harga ditetapkan semula.

Dengan peningkatan 10.1% yang dicatatkan pada bulan Julai, ia tidak mustahil bahawa apa yang dijangkakan BOE itu akan menjadi kenyataan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat