Penganalisis Optimis Terhadap Pos Malaysia

362

Firma-firma penyelidikan terus yakin dengan trajektori pemulihan Pos Malaysia Bhd untuk bergerak ke hadapan berikutan didorong oleh pemangkin positif ekonomi di dalam negara dan juga global.

Lapor Bernama, RHB Research kekal optimistik terhadap prospek pemulihan Pos Malaysia untuk tahun ini, seiring dengan pembukaan semula ekonomi secara meluas, meningkatkan segmen perniagaan bukan pos serta fokus syarikat untuk memperbaiki margin.

“Melangkah masuk ke tahun 2021, fokus pengurusan ialah meningkatkan margin. Dari segi operasi, ini memerlukan usaha giat mengukuhkan perniagaan kurier, transformasi digital perniagaan runcit dan inisiatif seterusnya dalam mengurangkan kos.

“Pos Malaysia akan terus terlibat dengan kerajaan terhadap perubahan peraturan bagi menyokong kemampanan jangka panjang industri kurier,” kata firma penyelidikan berkenaan yang turut mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas syarikat dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1.45.

Sementara itu, AmInvestment Bank pula mengambil sikap berhati-hati terhadap tinjauan untuk Pos Malaysia tahun ini kerana berpendapat syarikat tersebut memerlukan masa untuk memulihkan kerugian dan mengembalikan keyakinan berikutan penutupan pusat pemprosesan bungkusan utamanya untuk tempoh Oktober–November tahun lalu serta pemulihan operasi sepenuhnya daripada pandemik.

Bagaimanapun, melangkaui tahun ini, AmInvestment Bank menerusi nota penyelidikannya berkata, tinjauan untuk segmen penghantaran bungkusan Pos Malaysia adalah adalah positif.

Tambah firma terbabit, tinjauan positif itu disokong oleh perubahan struktur dan pilihan pengguna terhadap konsep membeli-belah dalam talian serta pembekuan lesen kurier baharu di Malaysia mulai September 2020 sehingga September 2022 bagi memastikan persaingan yang rasional dalam segmen berkenaan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat