Penggubal Polisi ECB Dilema, Hala Tuju Ekonomi Eropah Dilihat Semakin Kabur!

260

Data inflasi terus melonjak tinggi di seluruh negara Eropah pada bulan ini dan pertumbuhan ekonomi pula terbatas akibat impak dari inflasi dan geopolitik. 2 perkara ini telah menyebabkan isi rumah semakin tertekan apatah lagi ditambah dengan kenaikan harga minyak berikutan konfik antara Rusia dan Ukraine.

Kadar inflasi melonjak naik ke paras tertinggi dalam tempoh beberapa dekad di Itali, Perancis, Jerman dan Sepanyol pada bulan Mac, meningkatkan dilema penggubal dasar dalam menggubal dasar untuk ECB bagi mengekang pertumbuhan kadar inflasi dan dalam masa yang sama menjamin pertumbuhan ekonomi.

Inflasi di Itali mencecah 7% manakala inflasi di Perancis meningkat 5.1%, didorong oleh kenaikan harga bahan api dan gas asli yang biasanya memberi kesan kepada isi rumah yang berpendapatan rendah. Hal yang sama juga menimpa Jerman dan Sepanyol yang akhirnya membawa indikasi bahawa inflasi zon Eropah akan berada di atas 7% dalam tiga hingga empat bulan akan datang.

Walaupun kebanyakan lonjakan adalah disebabkan oleh harga tenaga, pasaran buruh Eropah juga lebih ketat dalam beberapa dekad, menunjukkan bahawa tekanan harga asas juga mula meningkat sehingga boleh memaksa syarikat menaikkan gaji tidak lama lagi. Pengangguran zon Euro jatuh ke paras terendah 6.8% pada bulan Februari.

Konflik antara Ukraine dan Rusia, yang merupakan pengeluar bijirin utama, juga berkemungkinan akan menaikkan harga beberapa makanan ruji. Penganalisis berpendapat bahawa ECB mungkin akan mengetatkan dasar secara sederhana berikutan faktor diatas.

Naib Presiden ECB Luis de Guindos antara yang mengakui kemerosotan ekonomi tersebut, dengan menyatakan bahawa ekonomi hampir tidak akan berkembang pada separuh pertama 2022.

Penganalisis pasaran terkini mengambil sikap lebih berhati-hati dengan ditambah penggubal dasar yang konservatif tidak menggesa kadar untuk dinaikkan dengan begitu cepat.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat