“Hmmm agaknya kenapa Binance buang token ni?”
Bursa mata wang kripto Binance bukan sahaja dilaporkan bakal menghentikan deposit untuk Serum (SRM), Sonm (SNM) dan DFI.Money (YFII) pada 22 Ogos 2023, malah juga pasangan dagangan dikaitkan dengan aset digital tersebut.
Perkhidmatan yang dihentikan berikut turut akan dilaksanakan untuk Binance Simple Earn, Binance Loans, Binance Pay, Binance Gift Card dan Binance Trading Bots.
Sungguhpun penghentian deposit adalah pada minggu depan, Binance akan menawarkan pengeluaran sehingga 22 November dan sejurus selepas tarikh akhir itu, bursa kripto tersebut mungkin menukar token dinyahsenarai kepada stablecoin.
Bagaimanapun sebelum token yang dinyahsenarai ditukar kepada stablecoin, pemberitahuan berasingan bakal dibuat dan sebarang hasil daripada penukaran token akan dikreditkan ke wallet pemilik serta merta.
Menerusi pemerhatian, harga tiga token dinyahsenarai tersebut telah menyaksikan penurunan ketara ditambah pula terdapat khabar yang mengatakan Binance kini sedang berada dalam proses mengekalkan piawaian tertinggi melalui penilaian berkala untuk aset digital.
Semasa menyemak aset digital, Binance akan meneliti pelbagai aspek berbeza seperti pasukan projek, volum dagangan, kestabilan rangkaian, kecairan, tahap komunikasi awam, aktiviti pembangunan dan lain-lain.
Rentetan itu, SRM, SNM dan YFII didapati gagal memenuhi piawaian ketat Binance selepas semakan terkini mereka.
Sehingga berita ini ditulis, harga SRM menjunam sebanyak 8.16% pada paras $0.04 dalam tempoh 24 jam lalu manakala SNM pula tergelincir sekitar 8.45% pada $0.05 dan YFII susut 13.45% pada $498 dengan modal pasaran $19 juta.