Permulaan Minggu Indah Buat Pelabur, Namun Berkekalan Ke?

140

Ekuiti global mengekalkan corak kenaikan semasa penutupan minggu lepas dengan saham-saham Amerika Syarikat (AS) catat prestasi terbaiknya dalam tempoh 5 bulan.

Sungguhpun begitu, permulaan sesi dagangan awal minggu ini menyaksikan sejumlah besar indeks sama ada di Barat mahupun Timur bergerak sedikit lemah di sebalik penyusutan nilai dolar dan hasil Perbendaharaan.

Menyingkap penutupan saham AS Jumaat lalu, Dow Jones Industrial tambah 0.1% pada 33,747.9 sementara S&P 500 raih 0.9% pada 3,992.9 dan Nasdaq Composite canak 1.9% pada 11,323.3.

Namun, keadaan pasaran Wall Street agak tenang pagi ini dengan niaga hadapan Dow Jones dan S&P 500 susut 0.2% sementara Nasdaq turun 0.3%.

Di rantau Asia pula Nikkei 225 Jepun naik 0.3% sementara Topix jatuh tatkala S&P/ASX 200 Australia tambah 0.13%, Kospi Korea Selatan canak 0.28%, Kosdaq raih 0.13% dan indeks MSCI Asia Pasifik saham luar Jepun lonjak 0.25%.

Dalam pada itu, data inflasi AS yang lemah minggu lalu telah menyebabkan hasil Perbendaharaan susut 33 mata dan dolar hilang hampir 4%, penurunan mingguan terbesar greenback sejak 50 tahun.

Dolar mengukuh sedikit awal pagi ini pada 0.4% pada 106.870 namun masih di bawah puncak 111.280 selepas kejatuhan minggu lepas.

Pada sisi berbeza, antara input-input tumpuan minggu ini yang mungkin pelabur perlu ambil tahu adalah data indeks harga pengeluar, data import dan eksport serta data jualan runcit AS.

Selain itu, tumpuan turut dijangka terarah ke China dengan pengawal selia meminta institusi kewangan melanjutkan sokongan kepada pemaju hartanah di sebalik situasi Covid-19 yang kembali mencanak.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat