Johor semakin menghampiri misinya untuk menjadi peneraju utama tenaga hijau apabila Petronas baru-baru ini melabur sebanyak RM7.5 bilion ke dalam Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).
Pelaburan besar ini merangkumi projek tenaga solar 40-megawatt, kilang kitar semula plastik canggih, bio-refinery yang dijangka mula beroperasi menjelang 2028, serta kolaborasi bersama LG Chem untuk pengeluaran Nitrile Butadiene Latex (NBL).
Pembangunan PIC ini akan dilaksanakan dalam empat fasa sepanjang 25 tahun, dengan matlamat membina rangkaian minyak dan gas hiliran yang kukuh di Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menyuarakan keyakinannya bahawa projek-projek ini yang akan mampu menarik lebih banyak pelaburan dan membantu Johor mencapai visi 2030 untuk menjadi negeri maju.
Petronas juga telah menyelesaikan ujian prestasi untuk 54 kilang di PIC, menandakan kemajuan besar dalam pembangunan kompleks ini.
Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), yang diuruskan oleh Johor Petroleum Development Corporation Bhd (JPDC), terus menjadi tonggak utama dalam pengembangan industri Johor.
Dengan pelaburan ini, Johor kini berada di landasan yang kukuh sebagai hab industri hijau di Malaysia, mengukuhkan asas ekonomi serta membuka peluang pertumbuhan mampan yang baharu.