PKP 3.0 Beri Impak Terhadap Bursa Malaysia

374

Bursa Malaysia dibuka tinggi dalam dagangan yang tidak menentu hari ini berikutan keseluruhan sentimen pelabur kekal berhati-hati berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.18 mata kepada 1,588.43 daripada 1,588.25 sewaktu ditutup semalam.

Lapor Bernama, indeks barometer itu dibuka 3.73 lebih tinggi kepada 1,591.98.

Bagaimanapun, di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 245 berbanding 202, manakala 291 kaunter tidak berubah, 1,416 tidak diniagakan dan lima yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 359.92 juta saham bernilai RM172.87 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, Bursa Malaysia dijangka kekal lemah berikutan peningkatan semula kes Covid-19 yang menyebabkan PKP dikuatkuasakan membabitkan enam daerah di Selangor.

“Sementara itu, sektor teknologi akan menyaksikan penurunan berikutan penyusutan semalaman Nasdaq di Wall Street.

“Mengenai komoditi, harga minyak mentah Brent telah menokok kepada paras tertinggi dua bulan susulan keyakinan permintaan manakala niaga hadapan kayu-kayan ke arah paras tertinggi sepanjang masa di rantau ini,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Tambah firma penyelidikan itu, untuk hari ini, sektor tersebut akan menumpukan kepada kaunter berkaitan pembungkusan ketika pelaksanaan PKP 3.0.

“Selain itu, harga minyak mentah Brent serta hasil yang lebih tinggi daripada jangkaan daripada gergasi minyak Saudi Aramco boleh merangsang minat belian, manakala minat dagangan boleh dilihat pada saham berkaitan kayu-kayan,” ujarnya.

Semalam, kerajaan mengumumkan pergerakan merentas negeri dan daerah tidak dibenarkan iaitu di Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang yang dikenakan PKP bermula 6 Mei sehingga 17 Mei akibat lonjakan kes baharu Covid-19 di kawasan berkenaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti sosial tidak dibenarkan namun kebanyakan aktiviti ekonomi tidak akan terjejas.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Public Bank tidak berubah masing-masing pada RM8.24 dan RM4.12. Petronas Chemicals susut enam sen kepada RM8.12, TNB jatuh dua sen kepada RM9.95 dan IHH menokok tiga sen kepada RM5.29.

Bagi saham aktif, KNM meningkat setengah sen kepada 19 sen, TA Win menambah 3.5 sen kepada 17 sen, Tanco tidak berubah pada enam sen dan Velesto Energy berkurangan setengah sen kepada 15.5 sen.

Saham paling untung termasuk Transocean yang meningkat 43 sen kepada RM6.63, Gopeng naik 22 sen kepada RM1.35 dan HengYuan menambah 15 sen kepada RM5.75.

Antara saham rugi, MPI turun 50 sen kepada RM38, Nestle susut 30 sen kepada RM135.50 dan Unisem berkurangan 19 sen kepada RM7.71.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas rendah 2.59 mata kepada 11,698.59, Indeks FBM Emas Syariah turun 12.92 mata kepada 13,121.40, Indeks FBMT 100 jatuh 7.38 mata kepada 11,341.18, Indeks FBM 70 turun 43.53 mata kepada 15,372.05, dan Indeks FBM ACE susut 36.06 mata kepada 8,591.34.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.36 mata kepada 198.87, Indeks Perladangan lemah 16.03 mata kepada 6,975.98, namun Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 21.02 mata kepada 14,860.24.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat