PM Johnson Tidak Akan Lanjut Tempoh Peralihan Brexit, Pound Kembali Lemah

309

Dagangan matawang pound sterling jatuh selepas Perdana Menteri UK Boris Johnson dilaporkan akan mengubah undang-undang supaya tempoh peralihan Brexit tidak akan dilanjutkan, menyebabkan tercetusnya kebimbangan terhadap rundingan perdagangan Kesatuan Eropah (EU) dan UK akan terjejas.

Ini menunjukkan PM Johnson tekad untuk keluar sepenuhnya daripada EU selewatnya sehingga tarikh akhir tempoh peralihan pada 31 Disember 2020 yang dilihat mustahil kerana rundingan dagang yang akan dibincangkan dalam tempoh tersebut sebenarnya akan mengambil masa bertahun-tahun.

Pemimpin EU juga memberi amaran bahawa para perunding perdagangan mungkin tidak dapat memenuhi kriteria perjanjian yang kedua-dua pihak inginkan, seperti mana yang berlaku dalam perjanjian antara Kanada dan EU yang telah mengambil masa sehingga 7 tahun untuk dimuktamadkan.

Rang Undang-undang Pengeluaran dijangka akan dibawa ke parlimen pada Jumaat ini untuk pembacaan kedua, termasuk teks undang-undang yang bertujuan untuk mengelakkan kerajaan melanjutkan tempoh peralihan meskipun tidak ada perjanjian perdagangan dimeterai dalam tempoh itu.

Matawang pound susut 0.52% berbanding dolar USD dan diniagakan rendah berbanding kesemua matawang utama pada sesi Asia.

Pergerakan matawang euro berbanding USD agak terbatas disebabkan data PMI pembuatan di Zon Eropah yang lebih lemah daripada dijangkakan, menunjukkan berlaku penguncupan dalam aktiviti perkilangan di rantau itu.

Sementara itu, dolar Amerika mula meraih peningkatan berbanding yen, sementara pelabur masih menantikan butiran lanjut mengenai perjanjian fasa pertama oleh Amerika Syarikat dan China yang dicapai pada Jumaat lalu.

Penasihat Ekonomi White House, Larry Kudlow menyatakan perjanjian tersebut ‘benar-benar selesai’ dan memberitahu bahawa dengan perjanjian yang dicapai oleh kedua-dua negara itu, ia akan menggandakan eksport Amerika Syarikat ke China.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat