Mahkamah Perusahaan baru-baru ini mengarahkan AirAsia membayar RM268,620 sebagai pampasan dan gaji tertunggak kepada bekas juruterbang syarikat tersebut, Eric Koh.
Hukuman itu dikenakan selepas bekas pekerja syarikat penerbangan tersebut mendakwa terpaksa melepaskan jawatannya selepas syarikat mengenakan potongan gaji sehingga 75% secara “tidak sah” semasa pandemik.
Koh, yang menyertai AirAsia pada 2018, berkata potongan gaji tersebut telah memberikan impak yang besar dan menjejaskan kehidupannya.
AirAsia menafikan dakwaan tersebut, mendakwa Koh meletakkan jawatan secara sukarela tanpa paksaan syarikat.
Namun, mahkamah menolak hujah itu, dengan Pengerusi mahkamah, S. Vanithamany, menegaskan bahawa potongan gaji dilakukan tanpa persetujuan dan pengetahuan Koh.
Mahkamah juga mendapati kontrak Koh tidak menetapkan jumlah jam penerbangan untuk gaji asas, menjadikan potongan gaji tersebut adalah tidak wajar.
Menariknya, AirAsia dilaporkan mencatat keuntungan pada tahun 2021 walaupun dalam cabaran pandemik, yang menimbulkan persoalan mengenai keperluan sebenar pemotongan gaji tersebut dibuat.