Powell Buat Gabenor BOJ Sakit Kepala!

284

Sesiapa sahaja akan sakit kepala selepas mendengar kenyataan Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell yang tekad untuk melanjutkan kenaikan kadar faedah bagi menangani inflasi.

Gabenor Bank of Japan (BOJ), Haruhiko Kuroda pastinya tidak terkecuali apabila terpaksa melihat nilai mata wang yen akan terus melemah untuk tempoh yang lebih lama.

Yen menjunam ke paras terendah lima minggu pada Isnin selepas Powell menegaskan akan terus dengan pengetatan dan mengekalkan kadar faedah yang tinggi lebih lama untuk memastikan inflasi benar-benar turun ke sasaran jangka panjang 2% bank pusat.

Ini sekali gus bakal memperluaskan lagi jurang perbezaannya dengan BOJ yang masih kekal dengan dasar monetari yang sangat longgar.

Walaupun Kuroda sudah berulang kali mengatakan pemulihan mereka adalah berbeza dengan negara-negara yang telah melaksanakan pengetatan, tetapi pada hakikatnya kebimbangan terhadap nilai mata wang yang lemah gagal ditepis oleh Jepun.

Sebelum ini juga, beberapa pegawai kerajaan Jepun meluahkan kekhuatiran mereka terhadap kejatuhan mendadak yen yang terkesan dengan pengukuhan dolar Amerika.

Ketegasan Powell berkemungkinan menyokong ramalan beberapa penganalisis bahawa yen akan menembusi paras psikologi utama 140 berbanding USD, selepas ia mencapai paras harga 139.39 pada bulan lepas.

Hal ini mungkin akan meningkatkan lagi kebimbangan perniagaan dan isi rumah yang sudah terkesan dengan inflasi yang tinggi dan kesan kenaikan cukai.

Dengan ekonomi yang masih lagi bergelut dengan pemulihan dari Covid-19, BOJ dilihat akan terus dengan dasar yang longgar dan negara itu perlu bertahan dengan kelemahan nilai yen.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat