Speaker Nancy Pelosi dan Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin masih belum memutuskan kesepakatan mengenai rangsangan Covid-19 pada hari Khamis seperti yang dijanjikan sebelum ini. Kedua-dua belah pihak masih mempunyai perselisihan mengenai jumlah pakej rangsangan yang ingin diumumkan.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin dan Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi sebelum ini iaitu pada hari Rabu telah mengadakan rundingan mengenai pakej rangsangan $2.2 trilion yang diusulkan oleh Demokrat, namun pengundian ditangguhkan bagi memberi ruang kepada lebih banyak perbincangan.
Namun angka tersebut tidak dipersetujui, pentadbiran Trump mencadangkan satu pakej rangsangan baru bernilai kira-kira $1.5-1.6 trilion termasuk bantuan $20 bilion untuk industri penerbangan yang terjejas teruk akibat krisis pandemik, kata ketua kakitangan White House, Mark Meadows.
Walaubagaimanapun, rundingan yang diteruskan ke hari ini juga tidak membuahkan hasil kerana belum mencapai kesepakatan. Salah satu sumber melaporkan bahawa Pelosi mezahirkan rasa kecewa dan berang dengan rundingan semasa yang dijalankan. Pelosi menyifatkan Republikan tidak berkongsi pandangan yang sama atau angka pelaburan yang diperlukan.
Meskipun terdapat ketidakpastian dalam usaha AS untuk pakej rangsangan ini, namun kedua-dua pihak komited untuk mengumumkan pakej rangsangan sebelum pilihan raya.