RBNZ Rekodkan Penurunan Kadar Faedah, Dagangan Kiwi Menjunam

642

Pasaran dikejutkan dengan keputusan dasar mesyuarat oleh bank pusat New Zealand untuk bulan Mei yang dikeluarkan sebentar tadi dengan mencatatkan sejarah baru.

Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) telah menurunkan kadar faedah kepada 1.50% meleset daripada jangkaan kekal di paras 1.75% oleh pasaran. Kadar tersebut direkodkan paling terendah sejak kali terakhir diturunkan sebelum ini pada November 2016 yang lalu.

Diperhatikan dagangan dolar NZD berbanding matawang utama yang lain mencatatkan penurunan yang ketara dengan pergerakan volatile harga. Terutamanya pada pasangan matawang NZD/USD, harga telah menjunam sekitar 75 pips ke paras terendah yang baru pada tahun ini dan terendah sejak November tahun lalu.

Tambahan lagi, dagangan Kiwi akan terus berada dalam tekanan berikutan hasil pulangan bon kerajaan New Zealand turut menurun susulan keputusan kadar faedah tersebut dikeluarkan.

Penanda aras bagi hasil pulangan 10-tahun menurun kepada 5 titik asas pada hari ini dan berada di paras terendah sejak 1 April yang lalu. Sementara hasil pulangan 2-tahun yang sensitif terhadap jangkaan kadar faedah, menurun lebih kepada 4 titik asas kepada 1.4%.

Ahli mesyuarat telah bersepakat untuk menurunkan kadar faedah yang dilihat bersesuaian dengan unjuran bank pusat. Antara faktor yang mendorong penurunan kadar adalah kelemahan pada perbelanjaan domestik, unjuran pertumbuhan serta masalah pada sektor pekerjaan, memerlukan ransangan daripada dasar bank pusat.

Risiko utama adalah pada pertumbuhan ekonomi global yang perlahan khususnya di China dan Australia. Untuk mengimbanginya, ahli mesyuarat lebih menitikberatkan isu pertumbuhan global yang perlahan berbanding tindakan pemulihan segera.

Ahli mesyuarat turut menyedari risiko terhadap unjuran pelaburan dan bersetuju bahawa unjuran bagi pertumbuhan pekerjaan adalah masih lemah namun dijangka akan kembali pulih pada 2019.

Selain itu, risiko terhadap unjuran inflasi dilihat seimbang dan bersetuju bahawa jangkaan inflasi masih kekal stabil di pertengahan paras sasaran.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat