Dagangan komoditi hitam berdepan satu lagi ancaman ribut yang melanda Pantai Teluk Texas, menyebabkan harga minyak terus didagangkan kukuh di paras tertinggi enam minggu pada sesi Asia.
Niaga hadapan minyak mentah Brent menguat pada $73.70 setong, setelah meningkat 0.8% pada hari sebelumnya. Dagangan WTI Amerika Syarikat juga mengukuh pada $70.70 setong, selepas menokok 1.1% pada hari Isnin.
Kedua-dua penanda aras itu telah melonjak ke tahap tertinggi yang pernah dicapainya sejak awal Ogos.
Pemindahan telah dilakukan pada hari Isnin dari pelantar minyak Teluk Mexico ketika kilang minyak di darat pula bersiap untuk menghadapi ribut tropika Nicholas yang melanda pantai Texas.
Ini memburukkan lagi prospek untuk pemulihan pengeluaran di Teluk AS, memandangkan lebih 40% output minyak dan gas di wilayah itu masih tidak beroperasi setelah dua minggu dibadai taufan Ida.
Kerajaan AS telah bersetuju untuk menjual minyak mentah dari rizab darurat negara itu kepada lapan syarikat termasuk Exxon Mobil, Chevron dan Valero, dalam lelongan berjadual untuk mengumpulkan wang untuk belanjawan persekutuan.
Sementara itu, OPEC pada hari Isnin telah menurunkan unjuran terhadap permintaan minyak dunia untuk suku terakhir 2021 kerana varian delta, mengatakan pemulihan selanjutnya akan ditangguhkan hingga tahun depan apabila penggunaan akan melebihi tahap pra pandemik.