Ringgit melanjutkan lagi kejatuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di saat pengukuhan indeks DXY yang mengheret pelabur untuk berpusu-pusu ke arah aset selamat mata wang tersebut.
Pada jam 10.20 pagi, ringgit berada pada paras 4.4410 iaitu susut 0.16% berbanding USD daripada ia ditutup 4.4365 di dagangan Selasa.
Menurut Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam berkata permintaan tinggi buat dolar AS dijangka akan berterusan apabila pegawai Federal Reserve (Fed) dalam ucapannya berkata prospek terkini penurunan kadar faedah selanjutnya akan bergantung kepada data ekonomi akan datang.
Selain itu, Fed Neel Kashkari mencadangkan untuk melihat ke arah data inflasi akan datang sebelum mereka membuat sebarang keputusan mengenai kadar faedah.
Oleh itu, ringgit dan beberapa mata wang membangun berkemungkinan akan kekal lemah dalam tempoh terdekat.
Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia lebih tinggi berbanding pound Britain pada 5.6463/5.6635 daripada 5.6889/5.6934 pada penutupan Selasa, lebih baik berbanding euro kepada 4.7061/4.7204 daripada 4.7111/4.7148 dan lebih kukuh berbanding Jepun kepada 2.8661/2.8752 daripada 2.8788/2.8812.
Ringgit juga didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang Asean.
Berbanding baht Thailand, ia meningkat kepada 12.7162/12.7637 daripada 12.7456/12.7608 pada penutup Selasa dan mengukuh berbanding dolar Singapura pada 3.3107/3.3210 daripada 3.3143/3.3174.
Unit tempatan meningkat sedikit berbanding peso Filipina kepada 7.53/7.56 daripada 7.54/7.55 dan tinggi sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 280.8/281.9 daripada 281.0/281.5 sebelumnya. – Bernama