Ringgit dibuka dengan cemerlang berbanding dolar AS di penghujung minggu selepas Federal Reserve (Fed) AS mengurangkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas semasa mesyuarat FOMC pada awal pagi tadi.
Pada jam 10.30 pagi, ringgit berada pada paras 4.3820 iaitu kukuh 0.41% berbanding dolar AS daripada ia ditutup 4.4020 di dagangan Khamis.
Ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Kadar Dana Fed kini berada di antara 4.50% dan 4.75%.
Hasil Perbendaharaan AS 10 tahun turun 11 mata asas kepada 4.31% dan Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.55% kepada 104.508 mata.
Katanya lagi, keputusan Fed itu dibuat walaupun terdapat ketidaktentuan yang menyelubungi dasar Presiden Donald Trump pada tahun depan yang dilihat berpotensi menyebabkan kenaikan inflasi.
Sementara itu, ringgit lebih lemah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia jatuh berbanding pound British kepada 5.6943/7255 daripada penutup Khamis pada 5.6821/6879, susut berbanding yen Jepun kepada 2.8637/8795 daripada 2.8597/8629 dan rendah sedikit berbanding euro pada 4.7347/7606 daripada 4.7317/7365 sebelum ini.
Nota tempatan didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.
Ia meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.47/7.51 daripada 7.49/7.51 semalam dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 278.6/280.3 daripada 279.6/280.0 sebelumnya.
Namun, ia lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.3207/3394 daripada 3.3178/3216 pada penutup semalam dan susut nilai berbanding baht Thailand kepada 12.8947/12.9767 daripada 12.8290/8492 sebelumnya. – Bernama