Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Rabu di tengah-tengah sentimen berhati-hati berikutan perkembangan ekonomi global semasa.
Pada jam 10.30 pagi, ringgit berada pada paras 4.4650 iaitu susut 0.13% berbanding USD daripada ia ditutup 4.4705 pada penghujung Selasa.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran masih berwaspada dengan penggal kedua Presiden Donald Trump berkenaan situasi geopolitik semasa dan kesan terhadap prospek ekonomi bagi 2025.
Sehubungan itu, beliau berkata dagangan USD/MYR akan terus kekal dalam mod berhati-hati walaupun ringgit berada pada kedudukan tinggi menantikan Fed berkemungkinan akan mengurangkan kadar dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia susut berbanding pound Britain kepada 5.6710/6812 daripada 5.6449/6506 pada penutup Selasa dan susut berbanding euro kepada 4.7387/7472 daripada 4.7150/7198 semalam tetapi bertambah baik berbanding yen Jepun kepada 2.8871/8909 daripada sebelumnya 2.8871/9926.
Pada masa yang sama, unit tempatan didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.
Ia meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.59/7.61 daripada 7.60/7.61 pada penutup Selasa dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 281.9/282.5 daripada 282.1/282.5 semalam.
Sebaliknya, ia telah lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.3412/3477 daripada 3.3345/3381 semalam dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.9388/9728 daripada 12.9201/9384 sebelumnya. – Bernama