Ringgit dibuka lebih kukuh sekitar RM4.34 berbanding dolar AS iaitu mencecah paras tertinggi tahunan apabila Federal Reserve (Fed) berada di landasan penurunan kadar faedah.
Tepat jam 10.20 pagi, ringgit berada pada posisi 4.3420 iaitu kukuh 0.69% berbanding 4.3720 pada penutup Jumaat lalu.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam berkata ucapan Jerome Powell semasa Simposium Jackson Hole pada Jumaat lepas menunjukkan peralihan dasar daripada menahan risiko inflasi yang lebih tinggi kepada mengelakkan kejatuhan dalam pasaran buruh.
Katanya lagi, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 17 dan 18 September akan menyaksikan Fed memulakan pelonggaran dasar monetarinya.
Ringgit dijangka akan terus meningkat berbanding dolar AS dan mungkin bergerak ke arah paras sokongan segeranya pada 4.3000 dalam masa terdekat.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan lemah berbanding yen Jepun kepada 3.0231/3.0362 daripada 2.9914/2.9956 pada penutup pada Jumaat, susut berbanding euro kepada 4.8689/4.8896 daripada 4.8604/4.8665 pada akhir minggu lepas dan susut nilai British pound kepada 5.7501/5.7745 daripada 5.7391/5.7463 sebelumnya.
Sebaliknya, ringgit menunjukkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang Asean.
Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 280.8/282.2 daripada 282.1/282.7 pada penutup Jumaat dan meningkat berbanding peso Filipina pada 7.71/7.75 daripada 7.75/7.76 sebelumnya.
Bagaimanapun, mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3447/3.3595 daripada 3.3410/3.3454 pada Jumaat dan jatuh berbanding baht Thailand kepada 12.8106/12.8734 daripada 12.7575/12.7810.