Menurut laporan terkini Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), rumah berharga RM300,000 hingga RM500,000 mencatatkan jumlah tidak terjual paling tinggi di Malaysia pada suku ketiga 2024.
Sebanyak 7,003 unit bernilai RM2.78 bilion, atau 31.9% daripada keseluruhan hartanah tidak terjual, menunjukkan betapa sukarnya membeli rumah pada harga ini sekarang.
Isu harga yang semakin meningkat ini telah menghalang ramai pembeli, menjadikan impian memiliki rumah semakin jauh, terutamanya bagi golongan berpendapatan sederhana.
Rumah jenis bertingkat mendominasi sebagai jenis rumah paling banyak tidak terjual, mencatatkan 61.2% daripada keseluruhan unit yang tidak terjual.
Walaupun jumlah keseluruhan rumah yang tidak terjual menurun sedikit kepada 21,968 unit bernilai RM13.85 bilion berbanding suku sebelumnya, masih terdapat banyak hartanah yang terperangkap dalam pasaran, menimbulkan persoalan mengenai kelangsungan pasaran hartanah ini.
Menurut Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Abdul Razak Yusak, prestasi pasaran hartanah secara keseluruhannya masih kukuh, didorong oleh sokongan kerajaan dan ekonomi Malaysia yang stabil.
Namun, dengan harga rumah yang terus meningkat, menimbulkan persoalan untuk siapa rumah tersebut dibina di Malaysia jika rakyatnya sendiri tidak mampu untuk membelinya?