Saham AirAsia Melonjak Lepas Dapat Pinjaman RM500 Juta

1,070

Pelabur menyambut baik pengumuman AirAsia Group Berhad yang telah menerima kelulusan pinjaman oleh Danajamin Nasional Berhad (Danajamin) yang dijamin sehingga RM500 juta di bawah Skim Jaminan PRIHATIN Danajamin.

Ekoran daripada itu, saham AirAsia naik tiga sen atau hampir 2.7% kepada RM1.15 pada pembukaan dagangan hari ini dengan mengumpul permodalan pasaran sebanyak RM4.4 bilion.

Menurut firma penyelidikan PublicInvest Research, kelulusan pinjaman tersebut telah meringankan beban AirAsia dan membantu meningkatkan operasinya ketika sekatan rentas negeri dan antarabangsa dibuka semula tidak lama lagi.

Menerusi pernyataan yang dikeluarkan pada Selasa, AirAsia mengatakan pembiayaan tersebut akan digunakan untuk modal kerja, di mana ia membantu menampung kos kakitangan dan perbelanjaan operasi utama seperti penyelenggaraan pesawat.

Kelulusan pinjaman tersebut dilaporkan dibuat oleh pemberi pinjaman AirAsia di bawah kemudahan pembiayaan bersindiket dengan jaminan Danajamin melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) yang merupakan sebuah entiti milik penuh Kementerian Kewangan Kerajaan Malaysia.

Ini secara tidak langsung menunjukkan sokongan kuat dari kerajaan Malaysia terhadap syarikat penerbangan itu untuk terus berdiri teguh dalam memainkan peranan penting bagi mengembalikan semula ekonomi negara daripada pandemik Covid-19.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat