Saham Genting Bhd Menjunam, Antara Terburuk Di Bursa Malaysia

1,118

Pengusaha hotel dan kasino, Genting Bhd menerima tamparan hebat apabila harga sahamnya menurun sebanyak lebih 4%, sekali gus menjadi entiti yang mengalami penurunan paling banyak di antara 30 saham utama FBM KLCI pada tengah hari tadi.

Hari ini, saham Bursa merosot sebanyak 17 sen atau 4.47% kepada RM3.63 bagi modal pasaran RM14.63 bilion.

Genting turut menyaksikan kira-kira 28 juta sahamnya didagangkan. Harga saham Genting turut jatuh kepada paras terendah hari ini iaitu RM3.58.

Sementara itu, saham Genting Malaysia Bhd (GenM) turut menurun sebanyak 8 sen atau 3.48% kepada RM2.22 dengan nilai pasaran RM12.55 bilion. Kira-kira 37 bilion saham didagangkan.

GenM juga jatuh ke paras terendah hari ini iaitu RM2.16.

Pada Rabu lalu, Genting Hong Kong memaklumkan wabak Covid-19 telah menyebabkan kegiatan pelayaran syarikat itu dihentikan sementara waktu.

Tambah Genting Hong Kong, berikutan keadaan semasa yang tidak menentu, syarikat itu mengeluarkan pengumuman amaran keuntungan berhubung keadaan kewangan selama enam bulan yang berakhir 30 Jun lalu.

Jelas Genting Hong Kong, pandemik akan terus memberi kesan terhadap kedudukan kewangan dan operasi syarikat. Syarikat itu juga telah mengambil beberapa langkah pengurangan kos dan simpanan tunai.

Dalam pada itu, penganalisis S&P Global Ratings, Sandy Lim semalam berkata, pihaknya percaya Genting Bhd tidak terjejas kerana Genting Hong Kong dimiliki oleh entiti yang berbeza meskipun berkongsi nama yang sama.

Genting Bhd juga tidak mempunyai klausa, jaminan atau struktur kewangan yang akan memberi kesan buruk kepada kumpulan Genting Bhd.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat