Saham MPI Capai Paras ATH Terbaharu, Peroleh Nilai Pasaran Hampir RM10 Bilion

134

Harga saham Malaysian Pacific Industries terus tampil ‘ganas’ untuk mencatat paras tertinggi terbaharu pada RM46.80 di sesi perdagangan Bursa Malaysia hari ini.

Ekoran mencapai paras ATH RM46.80, permodalan pasaran MPI turut melonjak untuk merekodkan nilai mencecah RM9.76 bilion.

Setakat 3.28 petang, harga saham MPI sedikit melonjak sekitar 0.13% kepada RM46.56.

Hasil pendapatan kewangan pengeluar semikonduktor itu secara tidak langsung telah meningkatkan prospek pelaburan syarikat di kala situasi sekatan pergerakan yang didorong oleh Covid-19.

Menurut laporan, MPI telah memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM75.1 juta pada suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2021 yang mana menokok 53.13% berbanding RM49.05 juta.

Susulan itu, pendapatan syarikat juga meningkat 32.5% kepada RM537.3 juta daripada RM405.45 juta yang dicapai pada tempoh yang sama tahun lalu.

MPI menjelaskan bahawa prestasi yang memberangsangkan ini disokong oleh pendapatan yang lebih tinggi pada semua segmen serta pengurusan kos yang semakin efektif.

Penganalisis TA Securities, Wilson Loo berkata penjualan semikonduktor global telah mempamer kenaikan yang drastik pada Julai kepada $45.4 bilion dan mencapai pertumbuhan gah pada 18 bulan berturut-turut.

Kadar pertumbuhan mendadak itu dipengaruhi oleh pengeluaran dan penghantaran yang mencapai paras tertinggi terbaharu dalam proses memenuhi permintaan yang kian meningkat.

Selain itu, ia juga dipacu oleh percepatan digitalisasi yang sedang dilaksanakan di kala pandemik Covid-19 serta percambahan teknologi baharu seperti 5G, kecerdasan buatan dan robotik.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat