Saham Public Bank Cetus ‘Ribut’

750

Public Bank muncul kaunter paling untung dalam kalangan 30 kaunter berkaitan indeks di Bursa Malaysia hari ini susulan pengumuman mengenai terbitan bonus saham, semalam.

Setakat jam 10 pagi ini, saham kumpulan perbankan itu melonjak RM1.54 atau 8.34% kepada RM20.00 dengan 9.29 juta saham saling berpindah tangan dan menyumbang 11.65 mata di FTSE Bursa Malaysia KLCI.

Semalam, Public Bank mengumumkan cadangan terbitan sehingga 15.53 bilion saham bonus berasaskan empat saham bonus sesaham bagi setiap pegangan saham sedia ada.

Bernama melaporkan, apabila langkah itu selesai, modal sahamnya akan kekal pada RM9.41 bilion namun jumlah saham akan meningkat kepada 19.41 bilion, satu peningkatan ketara daripada 3.88 bilion saham pada masa ini.

Langkah itu dijangka dapat diselesaikan menjelang suku pertama tahun kewangan 2021.

Sementara itu, MIDF Amanah Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya hari ini menyifatkan cadangan terbitan bonus itu sebagai sesuatu yang positif.

“Selain memberi ganjaran kepada pemegang sahamnya, kami juga berpendapat langkah ini akan meningkatkan aspek kecairan dan kebolehmampuan saham itu.

“Malah, berdasarkan prestasi pendapatan kumpulan perbankan itu yang konsisten, tanpa mengambil kira perkara di luar jangka, kami menjangkakan ini akan turut menambah tarikan saham di mata pelabur,” kata firma penyeldikan itu.

Berikutan itu, firma berkenaan mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham Public Bank dengan harga sasaran kekal pada RM20.50.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat