Saham Top Glove Jatuh, Catat Laporan Suku Tahunan Yang Mengecewakan

342

‘Pergh, jatuh ke tahap pra-pandemik kot.’

Harga saham Top Glove Corp Bhd susut 10.2% atau 19 sen pada RM1.68 semasa penutupan semalam (9 Mac), terendah sejak Januari 2020 selepas syarikat tersebut mengumumkan keuntungan bersih suku tahunan sebanyak RM87.55 juta bagi suku kewangan ke-2 berakhir 28 Februari 2022 (2QFY22).

Kejatuhan harga saham Top Glove tersebut adalah ke-3 terbesar dalam sehari sejak Mac 2020, di mana penurunan harian terbesarnya adalah pada 10 Disember 2021 yang mencatat 10.37% pada RM2.16.

Bagi tahun sehingga kini, sahamnya telah jatuh 35% atau 91 sen.

Sementara itu, keuntungan suku tahunan Top Glove berada di bawah jangkaan pasaran, di mana pemerhati konsensus menjangkakan syarikat tersebut mencapai keuntungan bersih suku tahunan sebanyak RM150 juta pada 2QFY22.

Permodalan pasaran Top Glove berjumlah RM13.45 bilion berdasarkan penutupan pada RM1.68.

Dalam pada itu, Top Glove memetik isu purata harga jualan (ASP) sarung tangan getah sebagai penyumbang utama kepada penurunan pendapatannya, selain menyifatkan ia sebagai ‘normalisasi’.

Menurut pemfailan ke Bursa, hasil suku tahunan Top Glove merosot 8.51% pada RM1.45 bilion untuk 2QFY22 berbanding RM1.58 bilion pada tahun sebelumnya, ekoran normalisasi ASP kepada tahap pra-pandemik yang mengimbangi peningkatan dalam jumlah jualan.

Bagi tempoh enam bulan pertama yang berakhir 28 Feb 2022 (1QFY22), keuntungan bersih syarikat turun mendadak pada RM273.27 juta, hampir 5% daripada RM5.23 bilion yang diperolehi pada tahun sebelum.

Selain ASP, Top Glove juga menyatakan syarikat mengalami masalah margin ekoran penurunan harga bahan mentah lebih perlahan daripada penurunan ASP.

Hujar syarikat, kos operasi yang lebih tinggi bagi kos utiliti, tenaga kerja dan bahan kimia serta persaingan yang semakin sengit daripada bekalan sarung tangan baharu turut menjadi faktor yang menyebabkan tekanan harga tersebut.

Dalam satu berita berasingan, Top Glove menjangkakan majoriti pelanggannya di Amerika Syarikat (AS) akan mula membuat pesanan semula daripada syarikat tersebut selepas larangan import ditarik balik oleh kerajaan AS.

Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS mengenakan larangan ke atas barangan yang dibuat oleh Top Glove pada Julai 2020 atas tuduhan amalan buruh, namun larangan tersebut ditarik balik 14 bulan kemudian pada 10 Sept 2021.

Sebagai makluman, AS adalah pasaran eksport utama untuk Top Glove yang menyumbang 25% daripada volum jualannya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat