Saham Top Glove Kekal Berdarah, Tembus Bawah Paras RM3

1,950

Harga saham Top Glove terus terperosok ke paras terendah sejak Mei 2020 yang kini telah mencatat nilai kejatuhan sekitar 5.88% kepada RM2.88 pada sesi dagangan di Bursa Malaysia hari ini.

Menurut Bernama, keuntungan bersih Top Glove telah susut kepada RM607.95 juta pada suku keempat tahun kewangan 2021 daripada RM1.18 bilion yang dicapai pada tempoh yang sama tahun lalu.

Pendapatan syarikat pula merosot RM2.12 bilion berbanding RM3.11 bilion.

Top Glove mengatakan purata harga jualan sarung tangan (ASP) telah jatuh lebih rendah susulan normalisasi permintaan berikutan pelaksanaan kadar vaksinasi yang kian meluas di seluruh dunia.

Walau bagaimanapun, Top Glove masih kekal optimis mengenai prospek industri dan yakin permintaan sarung tangan akan mengekalkan trend kenaikan terutamanya dengan kemunculan varian baharu.

AmInvestment Bank Research menjangkakan jumlah penjualan kumpulan itu akan melonjak pada suku pertama tahun kewangan 2022 setelah larangan mengeksport sarung tangan ke AS telah ditarik balik.

Manakala bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Ogos 2021, keuntungan bersih Top Glove mencatat lonjakan 349% kepada RM7.87 bilion berbanding RM1.75 bilion pada tahun kewangan 2020.

Pendapatan syarikat untuk 2021 juga menokok 127% kepada RM16.4 bilion daripada RM7.24 bilion dengan kedudukan tunai bersih kumpulan kekal stabil pada RM2.05 bilion.

Meneliti kepada makluman yang dinyatakan, prestasi itu telah dipacu oleh permintaan sarung tangan yang kukuh serta kenaikan ASP yang didorong oleh pandemik Covid-19 pada ketika ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat