SC Beri Amaran Kepada Pelabur Tentang Penggunaan ATM Crypto

552

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengemukakan peringatan buat orang awam berkenaan penggunaan Mesin Teller Automatik Crypto atau lebih dikenali sebagai ATM Crypto. Menurut sebuah kenyataan yang dikeluarkan, SC mendedahkan ATM Crypto adalah mesin yang membolehkan individu membeli atau menjual aset digital melalui wang tunai, debit atau kad kredit atau e-dompet. Mesin-mesin ini telah dipasang di pelbagai lokasi di Malaysia bertujuan untuk memudahkan pertukaran pelbagai jenis aset digital dengan mata wang fiat dan sebaliknya.

Oleh yang demikian, SC memberi amaran kepada masyarakat bahawa entiti yang mengendalikan ATM Crypto dianggap mengendalikan Pertukaran Aset Digital (DAX) yang memerlukan pendaftaran dengan SC. Sehubungan dengan itu, SC tidak membenarkan mana-mana entiti untuk mengendalikan ATM Crypto.

Selain itu, suruhanjaya tersebut turut mengingatkan orang ramai agar tidak berurusan dengan mana-mana individu atau entiti yang tidak berlesen dan tidak sah. Hal ini demikian kerana mereka yang melakukannya tidak dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia dan terdedah kepada pelbagai risiko, termasuk penipuan dan pengubahan wang haram.

Seterusnya, orang ramai boleh mengesahkan sama ada pengendali aset digital berdaftar dengan SC di laman web https://www.sc.com.my/development/digital/digitalassets.

Tambahan daripada itu, para pelabur digalakkan untuk memberi maklumat kepada SC jika mereka menemui aktiviti atau laman web yang mencurigakan serta menerima panggilan telefon atau e-mel yang tidak dikenali serta menawarkan nasihat dan peluang pelaburan, terutama yang memberikan pulangan tinggi dengan risiko yang minimum.

Sebarang pertanyaan atau aduan boleh dikemukakan kepada Jabatan Pengguna dan Pelabur SC di 03-6204 8999 atau e-mel: [email protected]

Anda mungkin juga berminat