Matawang safe-haven yen memanfaatkan peluang ketika ketegangan AS dan China semakin meruncing dengan melonjak ke paras ketinggian satu bulan berbanding US dolar pada awal sesi dagangan Eropah.
Yen meningkat lebih tinggi berbanding USD setelah kementerian luar China mengarahkan AS supaya menutup pejabat konsulatnya di Chengdu. Langkah ini diambil susulan bagi membalas tindakan AS yang mengeluarkan perintah supaya konsulat China di Houston ditutup.
Dolar greenback pula terus didagangkan rendah selepas jatuh ke paras terendah 2 tahun berbanding sekumpulan matawang utama.
Setakat ini, pasaran masih menarik nafas lega kerana perjanjian perdagangan AS-China masih terikat. Namun, disebabkan perbalahan yang tidak berkesudahan ini, pasaran mula mempertimbangkan risikonya.
Tindakan balas daripada China itu nyata memberi kesan kepada dagangan matawang utama dan komoditi, terutama dolar Aussie dan kiwi untuk kembali mencatatkan penyusutan berbanding US dolar.
Sementara matawang euro pula kekal didagangkan tinggi dengan masih disokong oleh keyakinan terhadap dana pemulihan Eropah yang telah mencapai persetujuan.
Data yang menjadi tumpuan utama hari ini, memaparkan sektor pembuatan dan perkhidmatan di Eropah masing-masing mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan setelah lebih banyak aktiviti perniagaan dibuka semula.
Di samping itu, dagangan pound pula meningkat setelah didorong oleh data ekonomi yang menunjukkan pemulihan lebih kukuh dalam aktiviti pembuatan dan perkhidmatan UK berikutan pembukaan semula aktiviti ekonomi.