Sejuta Rumah Mampu Milik Menjelang 2018

45

Kerajaan yakin dapat merealisasikan sasaran untuk membina kira-kira 1 juta Rumah Mampu Milik (RMM) menjelang 2018.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata ini kerana hanya 23.3 peratus atau 268,018 unit sahaja perlu dibina tahun depan bagi melengkapkan sasaran.

Beliau berkata sebanyak 76.7 peratus atau 883,412 unit RMM sudah pun siap dibina sehingga 30 September lepas.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 500,000 unit dibina oleh Syarikat
Perumahan Negara Berhad SPNB; 150,000 unit oleh kerajaan negeri manakala bakinya oleh pihak swasta dan kementerian mengikut kumpulan sasar masing-masing.

“InsyaAllah, 1 juta rumah mampu milik akan siap dibina pada 2018,” katanya ketika merasmikan Rumah Contoh Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi semalam.

“Ini janji kerajaan BN untuk membina rumah buat rakyat yang merangkumi kepelbagaian pendapatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Halimah menggesa agar setiap kerajaan negeri tidak terlalu berharap kepada kerajaan pusat dalam membina rumah mampu milik di negeri masing-masing.

Menurutnya, kerajaan negeri boleh mengambil inisiatif sendiri tanpa perlu
bersandarkan kepada projek perumahan yang dibangunkan pihak swasta semata-mata.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga harus menentukan supaya pemaju
mematuhi dasar perumahan negeri bagi membina lebih banyak rumah mampu milik (RMM) bernilai RM300,000 ke bawah untuk membolehkan golongan berpendapatan RM2,500 ke bawah memilikinya.

Sumber: Bernama

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat