“Agaknya Malaysia akan bertindak seperti Indonesia tak pada masa hadapan?”
Selepas beberapa kali tertangguh, bursa dan pusat penjelasan baharu Indonesia bersandarkan mata wang kripto akhirnya diumumkan telah pun mula beroperasi sejak 17 Julai 2023, lapor pengawal selia komoditi di negara tersebut.
Pada mulanya, kerajaan Indonesia rancang untuk memulakan operasi pada penghujung tahun 2021 tetapi malangnya impian tersebut tidak tercapai, oleh itu mereka berhasrat melancarkannya pada Februari tahun ini dan sekali lagi gagal.
Platform itu adalah sama seperti pasaran sekuriti tradisional iaitu Bursa Saham New York (NYSE), Nasdaq, Bursa Saham Tokyo dan sebagainya berbanding bursa mata wang kripto Binance ataupun Coinbase yang diluluskan oleh kerajaan.
Suka dimaklumkan penubuhan bursa, pusat penjelasan dan pengurus storan aset digital itu dapat membuktikan kerajaan kini sedang berada dalam proses mewujudkan ekosistem perdagangan kripto yang adil dan saksama.
Proses tersebut adalah bertujuan untuk menjamin kepastian undang-undang dan mengutamakan perlindungan para pelanggan, kata Didid Noordiatmoko iaitu Badan Pengawas Dagangan Niaga Hadapan Komoditi Indonesia (Bappebti).
Bappebti akan memeterai perjanjian bersama bank pusat, Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan (OJK) dan Kementerian Kewangan dalam membangunkan platform itu yang dapat bantu industri tempatan berjalan lancar dan kurangkan risiko berkaitan kripto.
Umum mengetahui Indonesia berjaya muncul sebagai pengguna pantas aset digital susulan kerajaan semakin menunjukkan minat dalam mengembangkan pasaran kripto bagi memanfaatkan ekonomi tempatan dan pendedahan global negara.