Sektor Ekonomi Eropah Papar Kejatuhan Ketara Terkesan Oleh COVID-19

0 371

Permulaan dagangan sesi Eropah hari ini dihiasi dengan beberapa data ekonomi utama dari zon Eropah dan UK yang memperlihatkan bacaan PMI pembuatan dan perkhidmatan bagi bulan Mac yang bercampur-campur.

Pertumbuhan dalam sektor pembuatan di Jerman terus mencatat penyusutan dengan bacaan 45.7 daripada 48 pada bulan Februari. Ini merupakan penguncupan untuk bulan ke 15 berturut-turut, meskipun bacaan yag direkodkan lebih baik daripada unjuran pasaran.

Sementara itu, data PMI perkhidmatan Jerman pula menunjukkan penguncupan ketara sejak Jun 1997 dengan bacaan 34.5 daripada 52.5 yang dicatatkan sebelum ini, dan tersasar daripada jangkaan sebanyak 43.0.

Bacaan PMI perkhidmatan Perancis menunjukkan penurunan paling pantas dalam tempoh 22 tahun, di mana angka yang dicatatkan merosot kepada 29.0 daripada 52.5 pada bulan lalu, dan gagal menepati jangkaan untuk bertumbuh sebanyak 39.6.

Hal ini didorong oleh kemerosotan dalam perniagaan baru, menyebabkan syarikat-syarikat mengurangkan pekerja mereka.

Selain itu, PMI pembuatan Perancis menjunam ke paras terendah dengan bacaan 30.2 daripada unjuran untuk meningkat 39.4. Ini merupakan penguncupan terbesar dalam tempoh 22 tahun dan pengeluaran perkilangan jatuh lebih cepat sejak 2009.

Secara keseluruhannya, sektor perkhidmatan di Zon Eropah menjunam pada bulan Mac dengan bacaan 28.4 daripada 52.6 sebelumnya, sementara sektor pembuatan jatuh kepada 44.8 daripada 49.2, disebabkan oleh penularan coronavirus yang semakin meluas telah menjejaskan aktiviti perniagaan dan perkilangan.

Penerbitan data PMI UK turut menjadi tumpuan sesi Eropah apabila bacaan PMI pembuatan yang dicatatkan merosot dengan bacaan 48 daripada 51.7 pada bulan sebelumnya, di mana pengeluaran mencatat kejatuhan ketara dalam tempoh 8 tahun.

Sementara bacaan PMI perkhidmatan UK pula melemah dengan bacaan 35.7 daripada 53.2 yang dicatatkan bulan lalu, didorong oleh kemerosotan ketara dalam aktiviti perhotelan dan restoran berikutan penularan wabak COVID di negara itu.

Anda mungkin juga berminat