Seperti dagangan pada pembukaan awal minggu, US dolar pada Selasa semalam juga dilihat masih meneruskan corak pengukuhan nilainya dengan sentimen kemenangan Donald Trump pada pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung minggu lalu kekal menjadi faktor dorongan.
Selain itu juga, tindakan Federal Reserve (Fed) yang menurunkan kadar faedah pada jumlah yang lebih kecil sebanyak 25 mata asas turut memberi sokongan kepada pergerakan US dolar pada minggu ini.
Tumpuan kini sedang beralih kepada petunjuk baharu buat Fed iaitu data indeks harga pengguna (CPI) AS yang akan diterbitkan pada sesi New York malam ini.
Bakal mendorong pengukuhan lanjut US dolar, jangkaan terhadap data CPI yang mengukur kadar inflasi AS pada Oktober adalah meningkat semula kepada 2.6% berbanding 2.4% pada catatan bulan sebelumnya.
Penganalisis juga meletakkan jangkaan yang rendah untuk langkah pemotongan kadar faedah oleh Fed selepas ini, berikutan faktor tarif yang tinggi oleh pentadbiran Trump boleh mendorong peningkatan harga.
US dolar kini kukuh di paras tertinggi 6 bulan dan dijangka akan terus memberi tekanan berterusan ke atas mata wang utama yang lain dalam pasaran.
Kebimbangan terhadap isu tarif Trump juga telah menjadi faktor tambahan ke atas tekanan buat mata wang Euro di samping hala tuju dasar monetari bank pusat Eropah.
Euro terperosok paling rendah sejak November 2023 berbanding US dolar selepas penurunan harga di sesi New York semalam telah melepasi paras terendah pada catatan April lalu.
Pound juga tidak berjaya untuk menyambung lonjakan pada minggu lalu apabila tekanan pengukuhan US dolar itu membuatkan harga tersungkur ke paras terendah 3 bulan.
Mata wang Asia termasuk dolar Aussie dan Kiwi serta Yen turut berdepan tekanan dalam situasi US dolar yang sedang mendominasi buat ketika ini.