Sentimen Bercampur Terus ‘Hantui’ Dagangan Bursa Malaysia

178

Bursa Malaysia dibuka tinggi pada sesi perdagangan hari ini setelah disokong oleh minat belian di tengah sentimen pasaran yang bercampur pada prospek ekonomi domestik.

Pada 9.15 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.08 mata kepada 1,505.05 berbanding 1,501.97 ketika ditutup pada Khamis.

Lapor Bernama, indeks utama itu dibuka 1.39 mata lebih baik kepada 1,503.36.

Di pasaran menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 238 daripada 149, manakala 284 kaunter tidak berubah, 1,546 tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 361.36 juta unit bernilai RM148.99 juta.

Malacca Securities berkata pelabur nampaknya terus memantau perkembangan politik tempatan dan pada semalam FBM KLCI sedikit merundum susulan peningkatan kes harian Covid-19.

“Manakala jika diperhatikan pada prestasi Nasdaq semalam, kami yakin bahawa aktiviti buruan saham nilai rendah akan muncul di sektor teknologi,” tambahnya.

Pelabur juga dilihat cenderung dalam memerhati sektor bahan binaan terutama di perusahaan aluminium hari ini selepas harga logam menunjukkan kenaikan.

Dalam pada itu, para pelabur sedang menantikan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2021 yang akan diterbitkan pada hari ini.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.03, Petronas Chemicals meningkat satu sen kepada RM8 dan IHH Healthcare susut dua sen kepada RM5.81.

TNB dan Public Bank masing-masing tidak berubah pada RM9.70 dan RM3.95.

Bagi saham aktif, Opcom Holdings melonjak 5.5 sen kepada 57.5 sen, KNM Group naik satu sen kepada 21 sen, manakala Serba Dinamik naik 1.5 sen kepada 43.5 sen dan Ta Win Holdings jatuh satu sen kepada 16 sen.

Di papan indeks, FBM ACE meningkat 3.48 mata kepada 7,148.51, FBM 70 naik 47.35 mata kepada 14,584.72 dan Indeks FBMT 100 naik 25.33 mata kepada 10,749.20.

Indeks FBM Emas melonjak 26.95 mata pada 10,034.45 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 41.23 mata kepada 12,128.18.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 9.26 mata kepada 14,780.59, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.63 mata kepada 189.43 dan Indeks Perladangan meningkat 21.55 mata kepada 6,143.08.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat