Walaupun pasaran Amerika Syarikat (AS) bercuti semalam sempena Hari Veteran, namun pergerakan pasaran kewangan di awal minggu kekal rancak.
US dolar dilihat masih mengekalkan momentum pengukuhannya didorong oleh sentimen kemenangan Donald Trump minggu lalu pada acara pilihan raya presiden 2024.
Kebanyakan mata wang utama lain dalam pasaran didagangkan tertekan dengan pengukuhan US dolar dan situasi tersebut dijangka akan berterusan.
Euro terperosok ke paras terendah dalam tempoh dagangan 7 bulan berikutan kebimbangan pelabur semakin meningkat terhadap risiko tarif oleh pentadbiran baru White House yang berkemungkinan akan memberi kesan buruk terhadap ekonomi zon Eropah.
Seperti yang telah diberi amaran sebelum ini, Trump bakal mengenakan tarif barangan terhadap negara-negara yang berpaling daripada US dolar sebelum ini, dengan sasaran terbesar adalah China.
Malaysia juga tidak terkecuali berdepan risiko tempias tarif Trump itu.
Penganalisis mula mengimbas kembali tempoh pemerintahan Trump pada penggal terdahulu dengan peristiwa perang dagang ‘US-Sino’ yang berlarutan untuk tempoh agak panjang, di mana kedua-dua negara saling berbalas tarif ke atas satu sama lain.
Justeru, pelabur diberi amaran untuk berjaga-jaga dengan peristiwa tarif yang bakal berulang lagi selepas ini.
Untuk data ekonomi, tumpuan pada minggu ini akan terarah kepada data inflasi AS yang bakal diterbitkan pada Rabu.
Pada sesi Eropah hari ini (Selasa), tumpuan akan diberikan terlebih dahulu kepada laporan pekerjaan UK yang akan menjadi petunjuk baharu kepada bank pusat England (BOE) selepas melaksanakan pemotongan kadar faedah minggu lalu.
Pasaran komoditi juga terjejas di awal minggu menyaksikan harga emas dan minyak mentah alami kejatuhan ketara.
Sementara, kripto mencuri tumpuan pelabur apabila nilai Bitcoin semasa telah mencapai paras tertinggi terbaru dalam sejarah pada $89,000.