Sentimen Memulih Dorong Bursa Buka Hijau Lagi Harini

173

Pada jam 9.05 pagi penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 12.54 mata pada 1,574.87 daripada penutupan Rabu pada 1,562.33.

Indeks dibuka kukuh 8.38 mata pada 1,570.71.

Ia dibuka hijau melanjutkan keuntungan semalam hasil dorongan sentimen pelabur yang memulih ekoran tindakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk meningkatkan bekalan minyak.

Di pasaran meluas, pelabur menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi dengan 303 berbanding 107, manakala 178 kaunter pula tidak berubah, 1,699 tidak didagangkan dan 13 digantung.

Jumlah perolehan pada 238.57 juta unit bernilai RM169.65 juta.

Menurut laporan berita, UAE dan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) serta sekutunya akan meningkatkan bekalan minyak sebanyak 400,000 tong sehari setiap bulan bagi mengatasi masalah bekalan ekoran krisis Rusia-Ukraine.

Dalam pada itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pasaran ekuiti Wall Street melantun ekoran sentimen positif pelabur yang memulih.

Tambahnya lagi, KLCI dijangka mengekalkan aliran menaik dan berlegar dalam paras 1,555-1,575.

Saham berwajaran tinggi menyaksikan Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Petronas Chemicals Group Bhd naik 17 sen pada RM8.98 dan RM10.14, Public Bank Bhd dan IHH Healthcare Bhd tambah 10 sen pada RM4.50 dan RM6.48 sementara Press Metal Aluminium Holdings Bhd hilang 19 sen pada RM6.68.

Saham aktif memperlihatkan Hibiscus Petroleum Bhd susut 16 sen pada RM1.18, Green Packet Bhd naik 0.5 sen pada 10 sen, Dagang NeXchange Bhd (DNeX) dan Pertama Digital Bhd tambah 3 sen pada RM1.08 dan 85 sen sementara Dataprep Holdings Bhd naik 2 sen pada 38.5 sen.

Di papan indeks, FBM Emas naik 91.37 mata pada 11,134.54, FBM 70 tambah 172.45 mata pada 12,991.65, FBMT 100 canak 98.55 mata pada 10,838.89, FBM ACE mekar 52.42 mata pada 5,246.81 dan FBM Emas Shariah capai 52.22 mata pada 11,775.96.

Segi sektor, indeks Industri Produk dan Perkhidmatan mengukuh 0.50 mata pada 208.43, indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 268.82 mata pada 16,276.44 dan indeks Perladangan menyusut 129.34 mata pada 8,299.48.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat