Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam, mengeluarkan titah yang mencadangkan larangan penggunaan vape di negara ini secara total.
Titah ini dilontarkan susulan kebimbangan mengenai peningkatan penyalahgunaan dadah, khususnya dalam kalangan belia di Pahang.
Baginda menyatakan, alat vape menjadi punca utama golongan muda terjebak dalam ketagihan dadah, yang kini mencatatkan angka mengejutkan dan Pahang berada di kedudukan kelima tertinggi dengan 11,750 penagih, 57% daripadanya berusia antara 15 hingga 30 tahun.
Sultan Pahang berharap langkah ini dapat membantu mengurangkan masalah ketagihan dan meminta ibu bapa di seluruh negeri untuk lebih peka terhadap isu ini.
Namun, di sebalik seruan tegas ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menolak saranan tersebut dengan menjelaskan bahawa kerajaan persekutuan kekal dengan pendirian untuk tidak mengharamkan rokok elektronik.
Beliau memberitahu bahawa kerajaan akan terus mengambil pendekatan kawal selia vape menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
Kerajaan tidak berhasrat mengharamkan vape secara keseluruhan, tetapi membiarkan kerajaan negeri, seperti Johor, untuk menentukan dasar mereka bagi negeri di bawah naungan sendiri.
Apakah usulan Sultan Pahang ini satu langkah yang baik, atau tindakan kerajaan yang kekal dengan kawal selia vape mempunyai kelebihannya tersendiri?