Suram! Impak Pasaran AS Terus Beri Tekanan Kepada Bursa Malaysia

298

Bursa Malaysia diniagakan rendah hari ini setelah prestasi pasaran saham AS kian meruncing akibat pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan terus menekan bursa tempatan untuk kekal suram.

Pada 10.18 pagi, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 2.17 mata kepada 1,581.06 daripada 1,578.89 ketika ditutup pada Khamis.

Menilai kepada laporan daripada Bernama, indeks utama itu dibuka 2.75 mata lebih rendah kepada 1,576.14.

Di pasaran meluas, kaunter rugi kekal mengatasi kaunter untung sebanyak 204 berbanding 174, manakala 306 kaunter tidak berubah, 1,563 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 409.70 juta unit bernilai RM144.65 juta.

Malacca Securities berkata kemerosotan itu mungkin berlaku apabila dana asing telah beralih kepada penjualan bersih dengan aliran keluar bersih RM63.0 juta pada semalam setelah pembelian bersih berlanjutan selama 12 sesi.

Dalam pada itu, kaunter sarung tangan dijangka bakal diperdagangkan secara perlahan berbanding sebelum ini susulan peningkatan kadar vaksinasi yang kian memberangsangkan ketika ini.

Namun firma broker itu mengatakan bahawa pelabur mungkin akan kekal optimis terhadap sektor pemulihan seperti pembinaan, perbankan dan pengguna serta pengangkutan dan logistik.

Tambahnya pada semalam ketika Persidangan Pemulihan Ekonomi, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ada memberi cadangan untuk melaksanakan liputan 5G di 80% kawasan berpenduduk pada akhir 2024.

Ekoran daripada itu, ia mungkin memberi gambaran positif serta petanda baik bagi kaunter yang berkaitan dengan 5G.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing menambah tiga sen kepada RM8.29 dan RM7.88 serta IHH Healthcare mencanak 11 sen kepada RM6.72.

TNB jatuh dua sen kepada RM10.24 dan Public Bank kekal pada RM4.10.

Bagi saham aktif, KNM meningkat satu sen kepada 27 sen, Tanco naik setengah sen kepada 24 sen dan Dagang NeXchange susut satu sen kepada 72.5 sen.

Di papan indeks, FBM 100 jatuh 15.80 mata kepada 11,215.87, FBM 70 melonjak 5.87 mata menjadi 15,070.36 dan FBM ACE menambah 9.30 mata kepada 7.202.86.

FBM Emas turun 14.53 mata kepada 11,520.0 dan FBM Emas Shariah susut 25.55 mata kepada 12,614.99.

Mengikut sektor, indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 5.45 mata kepada 15,394.36, indeks Produk dan Perkhidmatan Industri jatuh 1.19 mata kepada 199.76 dan indeks Perladangan susut 20.75 mata kepada 6,632.96.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat