“Wow terbaiklah, ini satu perkembangan baik di negara Malaysia.”
Setelah mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memulakan operasi pada 1 September 2023, GX Bank Berhad (GXBank) diterajui Grab telah berjaya menjadi bank digital pertama di Malaysia.
Menerusi satu kenyataan di laman web Grab, GXBank bukan sahaja mendedahkan telah menyelesaikan semakan kesediaan operasi malah menyatakan ia merupakan daripada lima bank digital berlesen yang sudah memulakan operasi.
GXBank ialah anak syarikat GXS Bank Pte. Ltd yang telah bekerjasama dengan Grab Holdings Limited, Singapore Telecommunications Limited (Singtel) dan Kuok Group.
Sebagai permulaan operasi, bank digital itu akan memulakan ujian beta aplikasinya bermula dengan pekerjanya daripada GXBank, Grab termasuk Kuok Group dan secara beransur-ansur melancarkan kepada kumpulan pengguna yang lebih luas.
Langkah tersebut dapat membenarkan GXBank menerima maklum balas secara berterusan dan memperhalusi pengalaman pengguna sebelum dilancarkan kepada orang ramai.
Bukan itu sahaja, GXBank turut akan memanfaatkan teknologi serta inovasi untuk memenuhi keperluan individu, perusahaan mikro dan sederhana kecil (MSME) yang tidak ataupun kurang diberi perkhidmatan.
Suka dimaklumkan bank digital tersebut akan menyokong keperluan pelanggan melalui pelbagai saluran, antaranya adalah aplikasi bank dan customer support 24/7.
Dilaporkan juga, Lembaga Pengarah baru dilantik yang diterajui oleh Datuk Zaiton Mohd Hassan telah menyokong GXBank, di mana beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam perbankan, audit, pengurusan risiko dan fokus pada tadbir urus serta rangkuman kewangan.