Tak Macam McDonald’s, Burger King ‘Enggan’ Ikut Sekatan Barat Ke Atas Rusia

1,561

‘Perghh, ‘raja’ pun dekat bawah tapak kaki Putin.’

Pemilik restoran makanan segera Burger King, Restaurant Brands, terpaksa meneruskan operasi di Rusia kerana kontraknya bersama pengendali di negara itu ‘enggan’ mengikuti sekatan yang dikenakan.

Sebanyak 800 cawangan kedai Burger King di Rusia terpaksa meneruskan operasi apabila kontrak bersama pengendali tempatan, Alexander Kolobov, memaksa pembukaan kedai walaupun beberapa jenama lain bertindak untuk memboikot atau mengikuti sekatan yang dikenakan oleh pihak Barat.

Dalam satu surat yang dikeluarkan oleh presiden Restaurant Brands, David Shear, pihak mereka telah menghubungi pengendali utamanya di Rusia untuk menangguhkan operasi, namun permohonan tersebut telah ditolak.

Shear menambah bahawa sebarang perubahan bentuk perniagaan Burger King memerlukan ‘kelulusan pihak berkuasa Rusia’ dan syarikat menjangkakan cawangan kedainya mungkin tidak akan menangguh operasi buat sementara waktu.

Sebagai makluman, ketika Burger King memasuki pasaran Rusia 10 tahun lalu, syarikat tersebut telah membuat perkongsian usaha sama dengan Alexander Kolobov termasuk VTB Capital dan firma pelaburan Ukraine.

VTB Capital adalah anak syarikat VTB Bank iaitu institusi kewangan ke-2 terbesar di Rusia yang telah dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan negara-negara Eropah.

Restaurant Brands yang memiliki minoriti kepentingan sebanyak 15% dalam perkongsian usaha sama tersebut dilihat berada di bawah tekanan.

Dalam pada itu, Restaurant Brands dikatakan telah menghentikan penyaluran rantaian bekalan dan pemasaran di Rusia sebagai respon terhadap sekatan, sambil menolak sebarang tawaran pelaburan baru di Rusia.

Selain Burger King, gergasi peruncitan Marks and Spencer (M&S) turut menghadapi masalah sama ekoran isu kontrak bersama rakan kongsi di Rusia.

Perjanjian kompleks telah menghalang beberapa jenama barat daripada menutup kedai di Rusia, namun mereka dilihat cuba untuk menjalankan sekatan dengan cara mereka sendiri.

Umum mengetahui bahawa banyak rangkaian makanan segera dan minuman telah menjalankan sekatan terhadap Rusia yang bertindak menyerang Ukraine dan menyebabkan kematian.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat