“Alamak, adakah XRP akan jatuh lagi daripada harga semasanya?”
Setelah menyaksikan pendakian ketara melepasi $0.93 apabila Hakim Analisa Torres memutuskan Ripple (XRP) bukanlah sekuriti, kenaikan harga untuk mata wang kripto tersebut pada masa ini nampaknya akan berhenti.
Hal ini kerana XRP baru-baru ini dilaporkan kehilangan sebahagian besar keuntungannya apabila whales yang memegang sejumlah aset digital tersebut mula mengambil keuntungan dengan menjual 100 juta XRP bernilai $61.8 juta.
Menerusi pemerhatian, bekalan address yang memegang 100,000 sehingga 1 juta XRP telah merosot daripada 6.85 bilion kepada 6.75 bilion XRP selepas pelabur termasuk whales mengurangkan pegangan mereka dalam aset digital itu.
Bukan itu sahaja, harga XRP turut mengalami penurunan apabila kebimbangan mula tercetus di kalangan pelabur mengenai keputusan Hakim Torres yang hanya melabelkan XRP bukan sekuriti dalam kes jualan awam dan bukan jualan institusi.
Menurut Hugo Philion, pengasas Flare Network berkata bahawa ketidakpastian undang-undang yang mengelilingi status kawal selia XRP telah menyukarkan aset digital itu untuk melibatkan diri dan beri tumpuan pada pembangunan produk.
Tambahnya lagi, XRP yang telah bazir banyak masa dalam menangani cabaran pengawalseliaan telah menyebabkan perhatiannya kurang fokus untuk memajukan penyelesaian pembayaran rentas sempadan dan benarkan pemain lain wujudkan alternatif berdaya maju.
Sudah sedia maklum tumpuan utama XRP adalah pada pembayaran rentas sempadan, tetapi Philion mendedahkan bahawa usaha pelbagai pihak berkepentingan untuk meneroka XRP Ledger (XRPL) dapat bantu mempelbagaikan utiliti aset digital itu.
Bagaimanapun, usaha itu memerlukan jangka masa lama untuk jadi kenyataan susulan XRP pelu menghadapi pelbagai cabaran dalam penyelidikan, pembangunan dan penerimaan pasaran bagi memajukan ekosistemnya.
Setakat penulisan ini, harga XRP menjunam sebanyak 1.54% pada paras $0.62 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $32 bilion seterusnya mencatatkan penurunan 12.02% sepanjang minggu lepas.