Tarif Bukan Isu Utama Jika Hak Keistimewaan Hong Kong Ditarik balik

310

Tidak dapat dinafikan bahawa perdagangan antara Hong Kong dan Amerika Syarikat (AS) akan terjejas sekiranya Washington menarik status keistimewaan ke atas bandaraya China itu. Namun, bekas perunding perdagangan terkemuka White House, Clete Willems memberitahu bahawa hal tarif bukanlah perkara yang perlu dibimbangkan buat masa sekarang.

Pada Jumaat lalu Presiden Donald Trump telah mengumumkan bahawa beliau akan melucutkan hak istimewa Hong Kong bersama AS. Perkara itu muncul selepas China mengesahkan usul kawalan undang-undang keamanan yang baru, secara efektif akan melarang sebarang protes terhadap politik dan mengesahkan badan perundangan di wilayah pentadbiran khas itu.

Cadangan yang dikemukakan oleh China telah menerbitkan kebimbangan terhadap situasi Hong Kong sebagai pusat kewangan utama di Asia. Jika hak keistimewaan bersama AS ditarik, lebih daripada 1,300 syarikat Amerika di negara itu akan terjejas termasuk perdagangan antara kedua-duanya.

Berikutan dengan hak istimewa bersama AS, Hong Kong bernasib baik kerana dapat mengelak daripada dikenakan tarif seperti AS lakukan terhadap China sebagai tanda perang perdagangan antara dua negara. Malah, Hong Kong tidak memiliki sektor perkilangan yang besar seperti China.

Berdasarkan data yang dikemukan oleh Office of the U.S. Trade Representative (USTR), perdagangan antara AS dan Hong Kong yang melibatkan barangan dan perkhidmatan membawa jumlah melebihi $66 bilion pada 2018. Jumlah eksport AS ke Hong Kong bernilai $50.1 bilion dan import pula bernilai $16.8 bilion.

Willems menjelaskan bahawa selain daripada tarif, perkara yang perlu dibimbangkan adalah kawalan eksport – sama ada menghentikan teknologi AS ke Hong Kong tanpa lesen atau jika wujud perjanjian yang berbeza melibatkan teknologi dan perjanjian penerbangan di antara dua negara itu. Tidak cukup dengan itu peranan Hong Kong sebagai hab kewangan utama bagi China dan seluruh wilayah juga akan terjejas.

Kebimbangan itu turut disuarakan oleh Capital Economics pada minggu lepas. Mereka berpendapat bahawa risiko yang paling besar adalah AS mungkin akan menyekat sebarang penjualan ‘teknologi sensitif’ kepada Hong Kong. Secara tidak langsung tindakan ini akan menghadkan kemampuan syarikat yang berpangkalan di Hong Kong untuk mendapatkan produk tesebut sekaligus menghilangkan kelebihan Hong Kong sebagai lokasi perniagaan berbanding China.

Perang perdagangan AS-China semakin meningkatkan kebimbangan, melibatkan perbalahan mengenai teknologi di mana Washington melihat China sebagai pencuri harta intelektual Amerika. Terbaru, dilaporkan Washington dikehendaki mendapatkan pengeluar asing yang menggunakan peralatan pembuatan cip AS untuk mendapatkan lesen sebelum dibenarkan untuk menjual semi-konduktor kepada syarikat teknologi besar China, Huawei.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat