Telefon Bimbit Jeff Bezos Digodam Putera Mahkota Arab Saudi?

0 551

Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu digesa menjalankan penyiasatan terhadap Putera Mahkota Arab Saudi yang dikatakan telah menggodam telefon bimbit CEO Amazon, Jeff Bezos.

Berdasarkan sebuah laporan yang dikeluarkan, Jeff Bazos mendakwa bahawa Putera Mahkota Mohammed bin Salman telah terlibat secara langsung dalam kempen penggodaman terhadap Bezos.

Selain itu, aktiviti penggodaman tersebut dipercayai bermula ketika majlis makan malam dan pertukaran nombor telefon antara kedua-dua belah pihak pada tahun 2018 lalu. Di samping itu, laporan tersebut mendedahkan bahawa penggodaman tersebut membolehkan orang luar dapat memantau mesej peribadi mangsa yang digodam.

Seterusnya, peralatan kos tinggi dipercayai digunakan dan agak mustahil aktiviti berkenaan dilakukan oleh orang awam. Tambahan daripada itu, Jeff Bezos menyatakan bahawa berkemungkinan kebocoran maklumat peribadinya berlaku akibat daripada penggodaman yang dijalankan.

Apakah yang sebenarnya berlaku?

Menurut dakwaan yang dikemukakan, telefon bimbit Jeff Bezos digodam menggunakan perisian khas yang dihantar melalui pesanan aplikasi WhatsApp daripada telefon Putera Mahkota Mohammed pada November 2018. Kedua-dua individu berkenaan dikatakan telah bertemu dan bertukar telefon pada musim bunga tahun yang sama.

Pada bulan yang sama, Jeff Bezos didakwa menerima pesanan ringkas daripada Putera Mahkota Mohammed sekali lagi dengan gambar seorang wanita yang menyerupai Sanches iaitu beberapa bulan sebelum hubungan Jeff Bezos telah terbongkar kepada umum.

Pada ketika itu, beliau menyatakan tentang kemungkinan perkara tersebut disebabkan oleh aktiviti penggodaman yang telah dilakukan oleh kerabat raja Arab Saudi.

Mereka didakwa menjadikan Jeff Bezos sebagai mangsa kerana beliau merupakan pemilik kepada The Washington Post, yang menerbitkan karya-karya Jamal Khashoggi iaitu pembangkang kerajaan Arab Saudi.

Menurut CIA, Jamal Khashoggi telah dibunuh dengan kejam oleh ejen-ejen Arab Saudi pada Oktober 2018 atas arahan putera mahkota mereka. Pada peringkat awal penyiasatan, kerajaan Arab Saudi menafikan tuduhan tersebut.

Beberapa lama kemudian, mereka mengakui pembunuhan tersebut lalu menjatuhkan hukuman mati terhadap beberapa individu namun masih menafikan penglibatan Putera Mahkota Mohammed dalam kes berkenaan.

Tambahan daripada itu, laporan yang dibuat turut mendedahkan bahawa penggodam menggunakan sebuah perisian daripada syarikat Israel, NSO Group yang membekalkan perisian yang dikenali sebagai Pegasus.

Dengan perisian tersebut, pihak kerajaan boleh mengakses peranti yang berkaitan hanya dengan menggunakan internet. Akan tetapi, syarikat tersebut mengeluarkan sebuah kenyataan bahawa perisian tersebut hanya dijual kepada agensi kerajaan untuk mencuri maklumat daripada peranti penjenayah dan pengganas.

Walau bagaimanapun, aktivitis hak asasi manusia menjelaskan bahawa perisian tersebut digunakan secara meluas yang menyasarkan para peguam, wartawan dan pembangkang yang menentang kerajaan. Namun begitu, NSO Group tetap menafikan penglibatan perisian mereka dalam aktiviti penggodaman berkenaan.

Dalam sebuah kenyataan, kerajaan Arab Saudi menyifatkan bahawa tuduhan tersebut sebagai tidak masuk akal manakala pembunuhan Khasoggi dianggap sebagai operasi penyangak.

Malangnya, kes yang berlaku antara kedua-dua belah pihak tersebut masih kekal menjadi tanda tanya hingga ke hari ini.

Anda mungkin juga berminat