Sebuah kapal tangki minyak, MV Wakashio diambang hayatnya apabila Perdana Menteri Mauritus mengesahkan terdapat rekahan besar pada badannya yang mungkin akan berakhir dengan patah kepada dua.
Kapal tersebut yang merupakan hak milik firma Jepun, Mitsui OSK Lines membawa 4,000 tan minyak bahan bakar merentasi Lautan Hindi sebelum dijumpai terdampar di persisiran pantai Mauritus pada 25 Julai.
Susulan daripada insiden itu, kesemua anak kapal dipindahkan dan lebih dari 1,000 tan minyak telah bocor ke lautan, memenuhi permukaan laut.
Bakinya pula berjaya dipam keluar dan sehingga Isnin sebanyak 500 tan minyak dikeluarkan walaupun terpaksa berhadapan dengan cuaca buruk.
Lebih membimbangkan, pemerintah pulau itu turut mengingatkan untuk bersiap sedia dengan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku terutama melibatkan alam sekitar yang akan terjejas dengan limpahan minyak.
Pihak Perancis telah menghantar keperluan kawalan pencemaran dan enam ahli pasukan Jepun turut hadir untuk membantu usaha Perancis.
Pada waktu yang sama, beberapa sukarelawan mengutip jerami dan dibungkuskan di dalam karung bagi membina sekatan limpahan minyak di pantai.
Hilang seri pulau tercantik dunia yang turut merupakan rumah bagi terumbu karang. Lebih membimbangkan, ribuan spesies haiwan berisiko untuk lemas di lautan yang tercemar yang mana turut akan menjejaskan ekonomi Mauritus.