“Bestnya kalau setiap kali bangun pagi kita dapat tengok harga kripto hijau kan.”
Pada pembukaan sesi pasaran Asia hari ini, harga raja mata wang kripto Bitcoin (BTC) mengukuh sehingga lebih $30,000 apabila MicroStrategy rancang menjual sahamnya sebanyak $750 juta bagi membeli lebih banyak aset digital tersebut.
Dilaporkan, MicroStrategy yang memiliki 152,800 BTC bernilai $4.5 bilion pada 31 Julai 2023 telah berhasrat menggunakan hasil bersihnya untuk korporat am, pemerolehan BTC, modal kerja dan sebagainya.
Sementara harga BTC termasuk seluruh pasaran kripto turut pulih apabila para pelabur mula tidak bimbang mengenai kestabilan DeFi setelah pengasas Tron Justin Sun menyokong Curve DAO (CRV) yang mengalami masalah susulan eksploitasi.
Diperjelaskan lebih terperinci, Sun bukan sahaja membeli lebih $2 juta token CRV malah menjanjikan bantuan tambahan melalui pool kecairan pada rangkaian Tron.
Memang tidak dinafikan DeFi telah bertahan dengan baik semasa pasaran kripto menghadapi kejatuhan pada tahun 2022, tetapi eksploitasi baru-baru ini telah mencetuskan kegelisahan di kalangan komuniti kripto, ulas Richard Mico iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Banxal.
Bagaimanapun, Mico mendedahkan bahawa pelabur berpusu-pusu membeli sejumlah besar BTC semasa harganya berada pada $29,000 susulan mereka menjangkakan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) akan meluluskan permohonan spot BTC ETF.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC melonjak sebanyak 2.27% pada paras $29,909 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $581 bilion seterusnya mencatatkan kenaikan 2.63% sepanjang minggu lepas.
Manakala Ethereum (ETH) pula mencanak sekitar 0.95% pada paras $1,872 dalam tempoh 24 jam terakhir dengan modal pasaran $226 bilion dan Ripple (XRP) raih 1.42% pada $0.70 tetapi masih tergelincir 0.37% dalam masa tujuh hari lepas.