Mengekalkan situasi pasaran minggu lalu, US dolar terus bergerak lemah pada pembukaan awal minggu semalam mencatatkan kejatuhan ke paras terendah 7 bulan.
Pelabur menunggu petunjuk seterusnya daripada Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell minggu ini pada acara simposium Jackson Hole yang akan berlangsung di penghujung minggu.
Tiada perubahan terhadap jangkaan untuk pemotongan kadar faedah Fed pada September, namun peratusan ramalan terhadap kadar pemotongan sama ada 25 atau 50 mata asas terus diperhatikan pelabur.
Jangkaan terhadap pelonggaran agresif Fed sebelum ini sedikit pudar sejak minggu lepas yang diredakan dengan bacaan data jualan runcit Amerika Syarikat (AS) yang positif.
Selain itu, pelabur juga ingin mendapatkan petunjuk isyarat dari Powell sama ada pemotongan kadar faedah akan diteruskan pada mesyuarat berikutnya.
Namun, mengenali peribadi Powell, penganalisis pasaran tidak menjangkakan beliau akan memberi butiran jelas sehingga berlangsungnya mesyuarat FOMC.
Untuk data ekonomi yang bakal diberi tumpuan hari ini (Selasa), minit mesyuarat bank pusat Australia akan diteliti pada sesi Asia, bacaan akhir angka inflasi di Eropah akan menyusul sebelum di sesi New York, data inflasi Kanada akan diterbitkan.
Sentimen pasaran sedikit memulih ketika terdapat harapan untuk rundingan gencatan senjata di Timur Tengah yang turut memberi kesan penyusutan US dolar, namun pelabur kekal berjaga-jaga dengan situasi yang boleh berubah pada bila-bila masa.
Dagangan aset safe-haven emas juga perlahan di awal minggu selepas lonjakan harga pada penutup minggu lalu telah memecah rekod tertinggi dalam sejarah melepasi paras $2,500.