TikTok Cari Pelobi Berpotensi

225

Syarikat pengendali aplikasi TikTok, ByteDance dilaporkan mencari beberapa pelobi yang berpotensi.

Menurut Bloomberg, syarikat terbabit mengiklankan beberapa jawatan kosong berkaitan ‘hal ehwal kerajaan’ sejak 3 Ogos lalu. Ketika itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump masih mempertimbangkan sama ada untuk menyekat atau memaksa ByteDance menjual operasi syarikat itu kepada AS.

ByteDance mencari pelobi yang sudah mempunyai hubungan dan berpengalaman bekerja dengan Kongres, pentadbiran kerajaan dan agensi.

Selain itu, ByteDance juga mahu melantik pengarah untuk hal ehwal kerajaan negeri dan penyelaras komunikasi, pengarah dasar awam dan pengarah dasar undang-undang perantara.

Syarikat itu dikatakan mencari pelobi yang boleh membina hubungan dengan tokoh politik, melindungi komuniti pengguna TikTok, mendekati penggubal dasar dan mengenal pasti isu yang boleh menjejaskan syarikat.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, syarikat itu melantik bekas orang kanan kepada Ketua Majoriti Dewan, Jim Clyburn, bekas liaison undang-undang kepada Tentera Laut AS, Albert Calamug dan bekas pelobi Persatuan Internet, Michael Bloom.

ByteDance dilaporkan membelanjakan sebanyak AS$500,000 untuk menjalankan aktiviti melobi di peringkat Persekutuan pada suku kedua tahun ini, memecahkan rekod pada tiga bulan pertama tahun ini iaitu AS$300,000.

Usaha melobi ByteDance bermula tahun lalu bertujuan untuk mengadakan mesyuarat dengan eksekutif syarikat terbabit dengan senator berprofil tinggi.

ByteDance berdepan tekanan daripada kerajaan AS apabila diarahkan untuk menjual operasi syarikat itu di AS dalam tempoh masa 45 hari. Microsoft merupakan calon utama yang akan mengambil alih operasi syarikat terbabit.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat