TM Cetus ‘Bah’!

14,342

Telekom Malaysia Bhd (TM) merekodkan sebanyak 26% lonjakan keuntungan bersih kepada RM329.4 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2020 (3QFY20) berbanding RM261.3 juta pada tahun sebelumnya susulan lebih ramai pengguna yang bekerja di rumah ketika ini.

Bagaimanapun, hasil pendapatannya bagi 3QFY20 menurun 5.7% kepada RM2.69 bilion daripada RM2.85 bilion pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Selain itu, keuntungan bersih bagi suku ke suku TM meningkat 20% daripada RM274.7 juta manakala hasil pendapatannya melonjak 3.8% daripada RM2.59 bilion.

Peningkatan pendapatan yang berterusan didorong oleh jumlah perolehan yang tinggi menerusi langganan perkhidmatan panggilan, Internet dan data. Selain itu, kos operasi TM yang rendah susulan program pengoptimuman kos menyumbang kepada pertumbuhan positif keuntungan bersih.

Pada suku berkenaan, TM menyatakan, pihaknya telah melabur 15% daripada pendapatannya dalam perbelanjaan modal berjumlah RM400 juta untuk tujuan pengoptimuman rangkaian. Tambah TM, 50% daripada jumlah itu dilaburkan dalam akses rangkaian, 17% bagi rangkaian teras dan 33% pada sistem sokongannya.

Bagi sembilan bulan pertama yang berakhir 30 September 2020 (9MFY20), keuntungan bersihnya berjumlah RM756.67 juta, meningkat 11% tahun ke tahun daripada RM683.77 juta sebelum ini manakala pendapatan kumulatifnya menurun 6.7% kepada RM7.84 bilion berbanding RM8.4 bilion tahun lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan TM, Imri Mokhtar dalam satu kenyataan dikeluarkan, produk unifi telah menyaksikan momentum dengan pertambahan pengguna sebanyak 6.3% kepada 1.65 juta orang manakala bilangan pelanggan jalur lebarnya sebanyak 2.26 juta orang.

Ujar TM, rangkaiannya tetap stabil sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) meskipun penggunaan Internet meningkat antara 30% dan 50% pada Mac hingga November tahun ini.

TM juga akan memanfaatkan inisiatif Jendela yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi meningkatkan perkhidmatan jalur lebarnya pada tahun hadapan dan 2022.

Saham TM melonjak 15 sen atau 3.3% kepada RM4.75 sebelum sesi dagangan berehat pada tengah hari hari ini, menjadikan permodalan pasarannya sebanyak RM17.92 bilion.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat