“Lama sangat duduk bawah $27,600, bila harga BTC nak naik lagi tinggi ni.”
Susulan harga raja mata wang kripto Bitcoin (BTC) akhirnya berjaya mencapai semula $27,500, tiga penganalisis terkemuka yang diikuti secara meluas telah mempunyai pendapat sama mengenai kenaikan aset digital tersebut.
Menurut Michael van de Poppe, pakar strategi kripto berkata kepada 656,700 pengikut akaun Twitter miliknya bahawa carta mingguan BTC menyaksikan petanda untuk harganya melonjak tinggi dalam masa terdekat ini.
Meskipun begitu, harga BTC perlu melepasi paras $27,600 terlebih dahulu sekiranya ingin meneruskan lagi kenaikan pada $38,000 sehingga $42,000 tetapi perlu diingatkan $30,000 adalah zon rintangan kuat yang mesti diperhatikan.
Selain itu, rakan penganalisis kripto Kaleo turut bersikap optimis terhadap BTC susulan beliau berpendapat bahawa harga aset digital tersebut yang kini sudah mencecah lebih $27,000 mungkin akan mendapatkan semula paras pentingnya $40,000.
Sementara pedagang digelar Bluntz yang terkenal dalam industri pula menjangkakan pembetulan harga BTC akan berakhir dan aset digital itu bakal bersedia dalam meneruskan aliran menaiknya setelah sekian lama berlegar di paras sama.
Bagaimanapun, kebanyakan pelabur berfikiran sebaliknya apabila meramalkan harga BTC mampu menjunam susulan sentimen sejak kebelakangan ini tidak memberangsangkan ditambah pula ketidaktentuan peraturan kripto oleh pengawal selia.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC melonjak sebanyak 0.81% pada paras $27,366 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $530 bilion namun masih mencatatkan penurunan 0.62% sepanjang minggu lepas.