Reserve Bank of Australia (RBA) kekal dengan pendirian dasar monetarinya untuk menetapkan kadar faedah di tahap terendah dan sasaran hasil bon pada 0.25% dalam mesyuarat polisi sesi Oktober hari ini.
Melalui pernyataan bersama yang diterbitkan bank pusat, ekonomi dikatakan akan memerlukan sedikit masa untuk kembali kepada tahap akhir 2019, dan dasar itu akan tetap akomodatif selagi ia diperlukan.
Selain itu, bank pusat juga menyatakan bahawa usaha untuk mengawal kadar pengangguran yang tinggi adalah keutamaan penting kepada negara buat masa ini. Bagaimanapun, RBA mengunjurkan kadar pengangguran meningkat pada kadar lebih rendah daripada yang diramalkan sebelum ini.
Sementara itu, pemulihan ekonomi dari wabak coronavirus dikatakan sedang berlaku di sebahagian besar Australia, walaupun wabak gelombang kedua di Victoria telah mengakibatkan pengurangan pengeluaran.
Di samping itu, RBA mengatakan bahawa dasar monetari semasa berjalan seperti yang diharapkan dan membantu menurunkan kos pinjaman dan penawaran kredit, di mana kemudahan pembiayaan jangka telah menyumbang $81 bilion kepada bank dan institusi lain.
Bank pusat turut mengulangi bahawa ia tidak akan menaikkan kadar faedah sehingga terdapat kemajuan dalam mencapai sasaran pekerjaan penuh dan inflasi antara 2%-3%.
Dolar Aussie telah melonjak tinggi susulan keputusan RBA sebelum kembali menyusut berikutan jangkaan penganalisis bahawa bank pusat akan mengurangkan kadar faedah ke paras terendah baru 0.10% pada mesyuarat polisi bulan depan.
Dalam pada itu, kerajaan Australia bakal menerbitkan belanjawan negara pada hari ini, di mana ia dijangka akan meningkatkan perbelanjaan untuk menyokong pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi yang dilanda krisis coronavirus.